Sabtu, Februari 13, 2010

Ketua Menteri Pulau Pinang tidak kisah dengan kritikan peribadi yang dilempar terhadapnya

wawancara@Sinar Harian

EmelCetakPDF

Saya akan terus di sini, tidak tertekan”

Ketua Menteri Pulau Pinang tidak kisah dengan kritikan peribadi yang dilempar terhadapnya

Macam mana orang luar boleh menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang? Itu adalah antara soalan yang ditanyakan kepada saya oleh beberapa pelanggan yang makan semeja di ‘Line Clear’, sebuah gerai nasi kandar tersohor di Penang Road.

Soalan itu adalah lanjutan dari kontroversi di Tanjung sehari dua ini, dan dijadikan asas oleh sesetengah pihak untuk mengkritik kepimpinan Lim Guan Eng di Pulau Mutiara. Pemimpin DAP itu dikatakan tidak layak untuk menjadi Ketua Menteri.

Apabila perkara orang luar menjadi Ketua Menteri itu diajukan kepada Guan Eng, beliau hanya tersenyum sinis. Baginya, itu isu remeh yang tidak perlu dilayan, sebab ada banyak lagi isu lebih besar yang perlu diberi perhatian.

Dalam perbualan dengan ABD JALIL ALI dua hari lalu, Guan Eng menjelaskan banyak perkara di sebalik kritikan yang dilemparkan kepadanya. “Beranikah saudara siarkan?” dia bertanya. Berikut adalah sebahagian perbualan tersebut:

Saya ingin bertanya terus mengenai isu hangat yang sejak sehari dua ini menjadi tajuk utama media tanah air. YAB dikritik secara terbuka oleh pemimpin PKR, iaitu parti yang menjadi rakan kongsi Pakatan Rakyat (PR) dalam Kerajaan Negeri. Bagaimana perasaan YAB, tertekan?

Guan Eng: Saya sudah memberi banyak kenyataan berhubung isu ini kepada media. Ada yang disiarkan, ada yang tidak disiarkan. Biar saya tegaskan sekali lagi bahawa saya sedikit pun tidak tertekan dengan apa yang terjadi.

Sejak saya menduduki kerusi Ketua Menteri Pulau Pinang selepas Pilihan Raya Umum Mac 2008, saya telah banyak melalui saat yang lebih getir (dari apa yang terjadi sekarang), tetapi kita berjaya mengatasinya.

Ini memang satu ujian buat saya, juga buat Kerajaan Negeri pimpinan saya. Tetapi kalau mereka beranggapan apa yang terjadi ini boleh menggugat kerajaan PR di negeri ini, saya akan buktikan mereka salah. Kerajaan dan pentadbiran negeri tidak goyah, kami terus bersatu dan mantap.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim kata YAB adalah seorang diktator, cauvinis dan berfikiran komunis. Sementara Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng menganggap YAB sebagai Ketua Menteri yang tidak ada kelas. Mesti ada sesuatu yang menyebabkan wakil-wakil PKR itu begitu lantang terhadap YAB?

Guan Eng: Mereka boleh membuat apa sahaja tuduhan terhadap saya. Di pihak saya tidak akan ada sekatan untuk mereka meneruskan kritikan seperti ini. Tetapi, tuduhan hanya tinggal tuduhan selagi ia tidak dibuktikan dengan fakta yang jelas. Saya tidak takut pun dengan tuduhan-tuduhan tersebut, sebab saya tidak seperti yang dituduh.

Rakyat Pulau Pinang sejak dua tahun lalu telah melihat apa yang kita telah lakukan. Kita tidak cakap kosong, tetapi kita lakukan apa yang kita boleh untuk menambah baikkan kebajikan mereka. Diktator, cauvinis, berfikiran komunis dan sebagainya hanyalah istilah mereka untuk mencari publisiti. Orang ramai tahu saya tidak begitu.

Tetapi dia orang kata YAB tidak ada kelas. Kalau saya boleh tambah, tidak ada kelas itu maknanya lebih kurang ‘haprak’?

Guan Eng: Itu persepsi hanya seorang dua yang sakit hati pada saya. Tetapi lebih ramai– majoriti – tidak berpersepsi macam itu.

Saya tidak kisah, dan saya akan teruskan apa yang telah saya buat selama ini.

YAB ada sebut ‘sakit hati’. Apa sebenarnya yang mereka tidak puas hati terhadap YAB. Adakah ada apa-apa yang mereka harapkan dari YAB tetapi harapan itu tidak dipenuhi?

Guan Eng: Saya boleh kata mereka ini kecewa dengan tindakan saya dalam beberapa perkara. Mereka meminta sesuatu yang pada hemat saya tidak patut saya layan. Ada yang minta tender untuk projek bernilai berpuluh juta ringgit.

Kita mengamalkan sistem tender terbuka. Di bawah sistem ini yang kita amalkan sejak kita mengambil alih Kerajaan Negeri, kita tidak boleh luluskan satu-satu tender itu suka hati. Syarikat yang membuat bida mesti ada track records, mesti syarikat yang modal berbayarnya munasabah dengan projek yang diminta.

Saya tidak boleh meluluskan tender untuk satu projek bernilai berpuluh-puluh juta ringgit kepada syarikat yang mempunyai modal berbayar hanya RM2. Mana boleh syarikat RM2 dapat projek besar seperti itu. Kalau kita beri kepada

syarikat RM2, kita telah menyalahi peraturan yang kita sendiri buat mengenai tender terbuka.

Ada juga yang minta projek rumah kedai. Sama juga halnya, kalau tidak layak, kita tidak akan luluskan. Ini kerajaan rakyat, bukan kerajaan saya. Jadi kita kena bertanggungjawab kepada rakyat, bukan hanya melayan kehendak seorang dua yang ada kepentingan diri. Kita bertegas dalam hal ini.

Apakah betul syarikat RM2 minta projek juta-juta?

Guan Eng: Bukan sahaja syarikat itu modal berbayar RM2, malah syarikat itu juga baru sangat ditubuhkan. Syarikat itu ditubuhkan hanya pada bulan September 2009, sedangkan modal hanya RM2, minta pula satu projek berpuluh-puluh juta ringgit, mana boleh.

Kita selama ini ketawakan kerajaan BN kerana member satu-satu projek kepada kroni, kepada syarikat yang tidak ada trackrecords, kita kata BN amalkan sistem yang tidak betul. Kita kenalkan sistem tender terbuka untuk tunjukkan kepada BN sistem yang lebih baik. Sekarang hendak langgar pula sistem itu, mana boleh? Sebab itu kita tolak pembidaan itu, dan itu antara punca dia tidak suka saya.

Jadi, pada hemat YAB isu hangat yang tercetus sekarang berasaskan masalah peribadi?

Guan Eng: Saya percaya ini satu komplot. Boleh jadi juga ada pihak-pihak tertentu yang ambil kesempatan dalam isu ini untuk memperlekeh kerajaan pimpinan saya. Ia terjadi secara tergesa-gesa. Tiba-tiba sahaja ada serangan serentak terhadap saya.

Dua tiga orang pemimpin PKR tiba-tiba hentam saya, macam sengaja hendak mewujudkan perpecahan antara DAP dengan PKR. Pada saya orang-orang itu adalah politikus kecewa. Saya tidak perlu layan mereka, kita ada banyak kerja lain yang lebih besar.

Bagi saya kalau sesuatu itu adalah untuk kebajikan ramai, untuk rakyat, kita akan beri perhatian dan pertimbangan. Tetapi kalau sesuatu itu adalah untuk kepentingan peribadi, atau untuk kroni, saya tidak perlu layan.

Kerajaan Negeri pimpinan saya ada komitmen untuk membuktikan kita mengamalkan urus tadbir yang lebih baik dari kerajaan terdahulu. Perkara-perkara peribadi seperti ini bukan kerja kita.

Mungkin bersifat peribadi, tetapi tidakkah serangan seperti ini akan memberi gambaran bahawa PR dalam kucar-kacir sekarang? Tidakkah ini akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap PR secara umum dan khasnya PR Negeri Pulau Pinang?

Guan Eng: Macam saya kata awal tadi, perkara ini tidak akan menjejaskan Kerajaan Negeri. Tidak mungkin suara hanya seorang dua yang kecewa boleh dijadikan asas untuk menggoncang kerajaan.

Di pihak kita apa yang lebih penting ialah menjelaskan kepada rakyat apa sebenarnya isu ini. Setakat ini lebih ramai yang percaya pada kita. Kita kena tahu bahawa rakyat sekarang sudah celik. Mereka sudah matang, tidak boleh lagi dibodohkan dengan isu-isu seperti itu. Mereka tahu keadaan sebenar.

Tetapi tidakkah ini member kesan terhadap PR secara keseluruhan? PR sudah semakin goyah dengan krisis-krisis seperti ini, sana sini ada percanggahan pendapat antara sesama komponen PR, apa komen YAB?

Guan Eng: Ini bukan perkara baru. Sejak awal PR memang sudah ada percanggahan pendapat dan suara-suara sumbang seperti ini, baik di peringkat negeri mahu pun Pusat. Tetapi, akhirnya kita akan mencari jalan damai dengan tolak ansur. Kita dapat selesaikan secara baik di kalangan pemimpin-pemimpin komponen.

Lagi pun dalam kes seorang dua pemimpin PR di Pulau Pinang ini, perkara macam ini pun sudah sering terjadi di tempat lain. Kalau kita tengok di negeri-negeri lain pun dari semasa ke semasa akan ada hal seperti ini. Jangan kisah sangat.

Katakan YB-YB PKR itu keluar parti, tidakkah itu akan melemahkan lagi PR?

Guan Eng: Tetapi saya ingin bertanya saudara, apakah dengan adanya orang-orang seperti ini akan menguatkan PR? Saya boleh kata pemimpin-pemimpin ini jiwanya sudah tidak dalam parti. Mereka akan memandang lebih dari sudut negatif. Apa perlunya mereka dalam PR?

Kalau kita lihat kes ini, mereka yang terlibat itu pun sudah diberi teguran oleh PKR, tetapi mereka terap meneruskan kritikan dan menentang arahan pucuk pimpinan parti. Kalau mereka terus dengan sikap begini, apa perlunya mereka terus bersama kita? Mereka

boleh berundur kalau mereka rasa tidak sesuai lagi dengan parti yang mereka wakili. Itu pandangan saya.

Ada tuduhan bahawa kerajaan PR pimpinan YAB berlaku tidak adil kepada komponen lain. YAB tidak memberi muka pada PKR dan Pas. DAP dikatakan ‘big brother’, yang lain-lain tidak penting, malah ada yang dianggapsebagai ‘sampah’. Apakah betul tuduhan itu?

Guan Eng: Dapatkah tuduhan itu dibuktikan? Bagi saya setiap komponen ada peranan masingmasing. Kita tidak pernah rasa DAP sebagai ‘big brother’, itu mereka yang kata. Dan, yang kata macam itu pun hanya seorang dua.

YAB berasal dari Melaka, tetapi menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang. Ini pun sekarang dijadikan isu, ada yang tidak suka orang luar jadi orang No 1 di sini. Macam mana orang luar – negeri cincaluk – boleh jadi Ketua Menteri di Tanjung?

Guan Eng: Perkara itu tidak timbul langsung. Tapi, kalau itu pun hendak dijadikan isu, saya beranggapan orang yang mencetuskan isu itu sebagai sudah kekeringan idea. Carilah idea lain yang lebih bernas, jangan beri idea murahan hanya untuk menarik perhatian.

Apa pun saya suka menjelaskan bahawa saya dipilih oleh rakyat negeri ini. Saya menang dalam pilihan raya, dan menjadi Ketua Menteri atas kemenangan tersebut. Kalau sekiranya rakyat menganggap saya orang luar dan mereka tidak suka, mereka boleh pilih orang lain semasa pilihan raya nanti. Saya buat apa yang telah diamanahkan, tetapi akhirnya rakyat yang membuat penentuan.

Apakah dengan ‘pergolakan’ yang berlaku dalam PR sekarang, juga fakta YAB bukan anak tempatan, akan memberi kesan kepada prestasi PR dalam Pilihan Raya Umum akan datang?

Guan Eng: Kalau apa yang dianggap itu berterusan, tentu sedikit sebanyak akan ada kesannya terhadap PR. Tetapi Pilihan Raya Umum akan diadakan dua atau tiga tahun lagi, banyak perkara boleh berlaku.

Dari semasa ke semasa kita akan member penjelasan kepada rakyat untuk membetul mana-mana persepsi yang salah terhadap kita. Kita akan menangkis tuduhan-tuduhan dari pembangkang, dengan fakta, bukan cakap kosong.

Saingan utama kita adalah BN, khasnya UMNO. Seperti yang diketahui mereka dari semasa ke semasa akan menyerang kita baik cara langsung dalam perhimpunan rakyat, atau menerusi sidang Dewan Undangan Negeri di mana mereka menjadi pembangkang.

Mereka boleh serang, tetapi kita pun ada cara untuk menangkis serangan itu. Mereka mengabui rakyat menerusi ‘dakyah’, termasuk menyebarkan fitnah. Kita menyedarkan rakyat menerusi ‘dakwah’. Jangan salah anggap, bukan dakwah agama, tetapi dakwah untuk

memberitahu kebenaran dalam semua hal.

Dalam waktu yang sama kita akan teruskan urus tadbir yang ada sekarang. Sejak kita memerintah dulu kita perkenalkan dasar ‘Cekap, Akauntabiliti, Telus’ atau ringkasnya ‘CAT’. Ada orang kata dan sindir kita kerajaan ‘kucing’. Tidak apa dia orang kata kita kucing,

sebab kita hendak tangkap dan membersihkan ‘tikus’. Hanya kucing yang boleh lawan tikus.

Saya percaya dengan sistem urus tadbir yang seperti ini, rakyat akan melihat dengan fikiran terbuka, dan tidak mudah dipengaruhi oleh mereka yang lebih pandai bercakap, tetapi hanya bercakap kosong.

Ertinya YAB yakin dalam pilihan raya akan datang Pulau Pinang akan kek kekal di tangan PR?

Guan Eng: Saya yakin kita akan terus berkuasa. Tetapi saya beritahu rakan-rakan dalam PR kita tidak boleh berasa lega. Kita jangan leka, sebaliknya akan terus memperbaiki diri. Kerajaan yang baik adalah kerajaan yang sebaik rakyatnya. Itu yang kita lakukan sejak

hari pertama kita memerintah. Lagi pun sejak awal kita sudah memberi kesedaran umum bahawa negeri ini sebenarnya dijayakan oleh

pihak, termasuk rakyat. Rakyat sama-sama terlibat dalam apa juga kegiatan, rakyat adalah pemimpin, rakyat yang buat. Kita hanya memandu.

Tetapi, BN khasnya UMNO, yang kecundang dalam tsunami 1998, pasti berusaha keras untuk menawan semula Tanjung. Mungkin kaedah dan pendekatan mereka boleh menukar pendirian dan pilihan rakyat, khasnya orang Melayu dalam Pilihan Raya Umum akan datang?

Guan Eng: Kita negara demokrasi, rakyat yang menentukan. Kita menerima keputusan rakyat.

Benarkah Melayu Tanjung terus terpinggir?

Setelah Pulau Pinang diambil dari Barisan Nasional, apa perubahan besar yang sudah YAB lakukan sebagai Ketua Menteri?

Guan Eng: Saya sudah mengamalkan sistem urus tadbir yang lebih baik, dan lebih berkesan. Paling jelas kita berjaya menghentikan rasuah menerusi beberapa kaedah pentadbiran.

Sebagai contoh, dalam pemberian tender kita mengamalkan sistem terbuka. Kita hanya mempertimbangkan bidaan sesuatu tender berdasarkan keupayaan syarikat, track records, dan modal. Kita tidak bagi kepada kroni.

Mungkin tidak bagi kepada kroni, tetapi apakah orang yang bukan penyokong PR dapat kontrak menerusi sistem tender

terbuka ini? Orang UMNO kata mereka tidak berpeluang mendapat kontrak kerajaan, betulkah?

Guan Eng: Jawatan kuasa penilai membuat pertimbangan mengikut apa yang telah kita tetapkan. Kita tidak kira yang membuat bidaan

itu orang parti mana, kita tidak tahu pun. Pemilihan kita adalah berasaskan merit.

Mungkin orang tidak percaya kalau saya katakan sebahagian besar yang menerima tender menerusi sistem ini adalah kontraktor bukan orang PR. Kalau hendak perincian mengenai hal ini boleh rujuk kepada jawatankuasa pemilih. 70 peratus yang dapat adalah orang BN, boleh semak.

Sebenarnya, saya pun ditegur oleh rakan-rakan komponen PR kenapa beri kepada kontraktor yang bukan orang kita. Saya beritahu, itu dilakukan secara tender terbuka, siapa yang betul-betul layak akan dapat, tidak kira BN atau PR, tidak kira Bumiputera atau bukan Bumiputera.

Bercakap mengenai Bumiputera atau Melayu, Pulau Pinang adalah negeri Cina, orang Melayu dikatakan terpinggir dan

terkebelakang berbanding kaum lain. Ini adalah persepsi umum mengenai Melayu di negeri ini, apa komen YAB?

Guan Eng: Kita baru kuasai negeri ini dua tahun, tetapi persepsi itu sebenarnya telah wujud sejak sekian lama. Berpuluh-puluh tahun BN memerintah negeri ini, orang Melayu pun dikatakan terpinggir juga. Jangan tuding jari pada kita sekarang, ini masalah lama. Orang Melayu sudah mengeluh sejak sekian lama di negeri ini.

Kita menyedari perkara ini, dan kita telah pun mengambil langkah-langkah untuk memperbaiki kedudukan orang Melayu. Tetapi tentulah perkara ini tidak dapat dilakukan dalam sekelip mata. Kita baru dua tahun, berilah kita sedikit masa lagi. Mana boleh kita

selesaikan masalah yang sudah ada sejak lebih 50 tahun (zaman BN) dalam masa dua tahun. Kita kena realistik.

Kerajaan pimpinan YAB sudah melakukan sesuatu untuk Melayu. Itu cakap kosong atau cakap politik? Apa buktinya?

Guan Eng: Dari segi tender saya sudah sebut tadi ramai orang UMNO (Melayu) mempunyai peluang yang sama, asalkan mereka layak. Kalau Melayu layak, mereka tidak akan dipinggirkan.

Memang ada Melayu dapat tender, itu bisnes besar. Tetapi peniaga-peniaga kecil Bumiputera tidak dapat pembelaan. Gerai bumiputera dirobohkan, gerai bukan bumiputera tidak diusik. Kenapa macam itu?

Guan Eng: Apabila pihak berkuasa ambil tindakan ke atas gerai peniaga Melayu, ia dijadikan berita hangat. Malah ada akhbar siarkan di muka depan gambar gerai yang dirobohkan, pada hal itu adalah gerai kosong dan telah digunakan. Pada saya semua ini dibesarkan oleh sesetengah pihak untuk cetuskan kontroversi.

Mari kita cakap dengan fakta, bukan emosi. Saya suka jelaskan kerajaan PR di Pulau Pinang tidak pernah mengamalkan dasar untuk mensasarkan mana-mana kaum dalam tindakan penguatkuasaan. Kita tidak pilih kaum.

Perangkaan 2008 menunjukkan tindakan penguatkuasaan terhadap penjaga tanpa lesen adalah Melayu 785 atau 38 peratus, Cina 1,082 (52 peratus), India 196 (10 peratus).

Pada tahun lalu (2009), angkanya ialah Melayu 815 (29 peratus), Cina 1,727 (62 peratus), India 247 (9 peratus). Kalau dijumlahkan angka dua tahun ini kita akan lihat Melayu 1,600 (33 peratus), Cina 2,809 (58 peratus), India 443 (9 peratus). Apakah angka ini tidak menjelaskan bahawa kita tidak amalkan pilih kasih dalam tindakan terhadap peniaga kecil?

Dia orang buat tunjuk perasaan berdasarkan emosi, dan untuk tujuan politik. Kenalah tengok fakta, jangan demonstrasi hanya kerana emosi. Tetapi saya tidak kisah sebab yang tunjuk perasaan pun sedikit sangat.

Saya hendak tanya sedikit halhal mengenai agama Islam yang dikatakan tidak diambil perhatian oleh pentadbiran PR

di Pulau Pinang. Apa pandangan YAB dalam hal ini?

Guan Eng: Kita akan berbuat lebih baik untuk hal-hal Islam. Tetapi kalau bandingkan apa yang kerajaan dulu buat, kita kini telah buat lebih baik.

Dari segi peruntukan belanjawan dalam tahun 2008 (BN) hal-hal agama Islam diberi RM12.5 juta. Bila kita perintah, belanjawan 2009, kita untukkan RM20.5 juta. Tahun 2010 kita beri RM24.3 juta untuk hal ehwal Islam. Kalau ikut angka ini, apakah adil kata saya tidak beri perhatian kepada hal ehwal Islam?

Kita bantu sekolah agama rakyat (SAR), kita iktiraf pelajar-pelajar tahfiz, kita sediakan peruntukan, kita beri inisiatif. Kerajaan sebelum ini tidak buat macam kita buat sekarang. Menuduh memang senang sebab yang membuat tuduhan tidak menyemak angka dan fakta.

Rakyat tidak boleh dibodohkan dengan tuduhan, mereka kini meneliti fakta dan angka. Saya percaya itu.

Tiada ulasan: