Selasa, Februari 16, 2010

CINTA UMNO YANG KELIRU

Feb 16th, 2010 | By Admin | Category: DAP Melayu, utama

Oleh DAP Melayu

Lim Guan Eng Wahhabi! Agaknya itulah tuduhan UMNO terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang itu sekiranya beliau beragama Islam.

UMNO menganggap mereka lebih mencintai Nabi Muhammad berbanding Kerajaan Pakatan Rakyat khususnya Pulau Pinang yang dikuasai oleh DAP hanya kerana ’upacara perarakan’ sempena hari Maulidur Rasul. Pembatalan ’upacara perarakan’ Maulidur Rasul di Pulau Pinang kononnya atas arahan Ketua Menteri, YB Lim Guan Eng, telah dipolemik dan dipolitikkan secara murahan oleh UMNO dan pemimpin NGO yang telah bankrap mindanya. UMNO cuba mencetuskan isu perkauman dan agama atas nama Maulidur Rasul.

Perayaan Maulidur Rasul atau Hari Keputeraan Rasulullah SAW oleh kaum Muslimin dianggap sebagai sebahagian cara untuk menzahirkan rasa cinta terhadap Nabi yang paling mulia Muhammad SAW. Jika ini benar, siapakah diantara kita di zaman ini yang lebih mendalam cintanya kepada Nabi berbanding Sahabat Nabi?

Tidak ada pilihan lain bagi kita kecuali menjawab bahawa Sahabat Nabi adalah golongan yang paling mendalam cintanya kepada Nabi. Jika memang demikian, lalu mengapa para Sahabat tidak menzahirkan rasa cinta kepada Nabi dengan merayakan hari kelahiran Nabi sebagaimana masyarakat Melayu di zaman ini? Apatah lagi sambutan ala UMNO ! Mengapa para Sahabat tidak mengarang bait-bait syair seperti buku Barzanji untuk memuji Nabi di hari kelahirannya? Mengapa pula para Sahabat tidak mengadakan majlis perarakan untuk memeriahkan hari kelahiran manusia terbaik di muka bumi ini?

Kerana sentimen politik ketuanan Melayu yang menebal Kerajaan Pulau Pinang telah dipersalahkan oleh UMNO. Seolah-olah Kerajaan DAP Pulau Pinang salah dan UMNO sahaja berada di pihak yang benar. Firman Allah SWT di dalam Al-Quran :

“Tunjukkanlah bukti, jika kamu orang-orang yang benar” (Al-Baqarah : 111)

Kenapa UMNO tidak menyalahkan Kerajaan PAS Kelantan yang tidak pernah mengadakan upacara perarakan Maulidur Rasul ? Malah ketika BN memerintah Kelantan juga tidak pernah diadakan perarakan itu. Sesusungguhnya diadakan perarakan atau tidak, bukanlah menjadi ukuran kecintaan terhadap Rasulullah SAW.

Sebagai golongan Ahlus Sunnah, kita meyakini bahawa yang terpenting bagi kita ialah bagaimana untuk kita menjadi mukmin yang dicintai oleh Allah dan RasulNya. Ungkapan cinta kepada Allah dan RasulNya sangat mudah diucapkan oleh orang-orang munafik, tetapi sebenarnya mereka bukanlah orang-orang yang dicintai oleh Allah dan RasulNya. Adalah mustahil mendapatkan kecintaan Allah kecuali dengan mengikuti Sunnah Nabi yang mulia sepertimana Allah berfirman :

“Katakanlah ; ‘jika benar kamu mencintai Allah, ikutilah aku (Muhamad) ! Nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ” (Ali-‘Imran : 31)

Sambutan Maulid pada hakikatnya jelas meniru orang-orang Kristian dalam merayakan hari kelahiran Nabi Isa yang mereka sebut dengan Hari Natal atau Krismas. Kita umat Muhammad dilarang keras menyerupai Yahudi dan Kristian apalagi meniru ritual-ritual agama mereka. Allah berfirman :

“Dan sesungguhnya jika kamu mengikuti keinginan mereka (Yahudi dan Nasrani) setelah datang kepadamu ilmu, sesungguhnya kamu kalau begitu termasuk golongan orang-orang yang zalim.” (Al-Baqarah :145).

Yang dimaksud ayat ini menurut Syaikhul Islam Ibnu Taimiyyah adalah “meniru sesuatu yang menjadi ciri khas mereka, atau yang merupakan bahagian dari ajaran agama mereka” [Iqtidha’ shirathal mustaqim T. / 63-64].

Rasulullah SAW juga telah bersabda :

“Barang siapa menyerupai suatu kaum, bererti dia termasuk golongan kaum itu” (Hadits sahih riwayat Ahmad dan Abu Dawud).

Cuba bayangkan jumlah dana yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa atau pihak urusetia perayaan Maulidur Rasul samada di peringkat negeri ataupun peringkat kebangsaan, andaikata dana-dana tersebut disedekahkan kemudian dikorbankan untuk berjihad di jalan Allah nescaya ia akan lebih bermanfaat berbanding menggunakannya sebagai penyokong ’ibadah yang direka-reka’ yang tidak bernilai di sisi Allah malah banyak berlaku pembaziran. Sikap membazir yang dapat menjadikan kita saudara-saudara syaitan sebagaimana yang disebut oleh Al-Qur’an :

“…dan janganlah kamu menghamburkan hartamu secara membazir. Sesungguhnya pembazir itu adalah saudara syaitan dan syaitan itu adalah sangat ingkar pada Tuhannya” (Al-Isra’ : 26-27).

Juga perlu diketahui bahawa banyak beredar di tengah masyarakat Melayu hadits-hadits tentang keutamaan atau fadilat merayakan hari kelahiran Nabi, sedangkan hadits-hadits tentang fadilat Maulidur Rasul semuanya adalah palsu.

Di bulan Rabiul Awwal ini selalu disampaikan hadits-hadits tentang keutamaan maulid di atas-atas mimbar mahupun pada ketika upacara perayaan Maulidur Rasul, sedangkan yang dibaca itu adalah hadits palsu. Penyebaran hadits-hadits palsu sudah tentu membantu menyebarkan pendustaan atas nama Rasulullah SAW. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda :

“Barang siapa mengatakan sesuatu atas namaku sesuatu yang tidak aku katakan maka hendaklah ia mengambil tempat duduknya dalam api neraka.” (Hadits Hasan riwayat Ahmad).

Tidak kurang juga kaum Muslimin masih berusaha melakukan pembelaan terhadap perayaan maulid dengan berkata, Ini adalah hari yang istimewa untuk mempererat ukhuwah, silaturahim dan menyemarakkan sedekah antara saudara Muslim. Jadi tidak ada salahnya kita merayakan maulid dengan kemeriahannya. Untuk menjawab ungkapan ini kita kembali kepada kaedah yang sangat kuat, iaitu bahawa generasi pertama umat ini adalah sebaik-baik generasi, berdasarkan hadits :

“Sebaik-baik manusia adalah pada zamanku (Sahabat), kemudian yang sesudahnya (tabi’in) kemudian yang sesudahnya (tabi’ tabi’in)” [HR. Bukhari].

Dari kaedah ini kita katakan bahawa para Sahabat adalah orang-orang yang paling kukuh ukhuwah dan silaturahimnya terhadap saudara Muslim. Barisan saf mereka rapat, bersambung dari bahu kebahu dari tumit ke tumit dan kukuh dihadapan Rabbul ‘alamin sewaktu mereka berdiri, rukuk dan sujud. Jiwa-jiwa mereka bersatu di medan jihad. Semua itu bukan kerana perayaan Maulidur Rasul, dan tidak juga kerana perarakan pada setiap 12 Rabiul Awwal.

Perarakan Maulidur Rasul juga bukan untuk perpaduan ! Sudah terbukti 52 tahun kita merdeka bermakna sudah 52 kali Maulidur Rasul dirayakan. Adakah umat Melayu Islam di negara ini bersatu ? Padahal perayaan maulid telah berlangsung selama 5 dekad. Ada juga yang mengatakan bahawa perarakan Maulidur Rasul adalah sebagai ’tanda syukur’ di atas kelahiran dan kenabian Nabi Muhammmad SAW. Marilah perhatikan hadits Rasulullah SAW yang berikut yang diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya dari Abu Qatadah :

Rasulullah ditanya tentang hari Isnin ? Beliau menjawab, Itu adalah hari aku dilahirkan dan hari aku diutus menjadi Nabi. (Riwayat Muslim dalam Shahih II 819-820 Kitab Ash-Shiyam no 1162 hal 197-198; Ahmad dalam Musnad V,297 ; Ibnu Khuzaimah dalam Sahih II, 298-299 no. 2117)

Jika tujuan dari pelaksanaan perayaan Maulid adalah untuk bersyukur kepada Allah atas nikmat kelahiran Rasulullah SAW pada hari itu maka logiknya rasa syukur itu dilaksanakan seperti yang dilaksanakan oleh Rasulullah didalamnya iaitu berpuasa dan hendaklah dia berpuasa seperti puasa Rasulullah, iaitu berpuasa pada hari Isnin dan Khamis. Berapa ramai antara kita yang puasa hari Isnin dan Khamis ?

Marilah juga kita renungi pengertian Al-Quran dan hadits-hadits berikut jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW :

”Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah; dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukumanNya” (Al Hasyr:7)

”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui ” (Al Hujurat : 1)

Rasulullah SAW bersabda:

”Ketahuilah dan jauhilah perkara-perkara yang baru (yang direka), kerana perkara yang paling jelek itu adalah perkara yang baru. Setiap sesuatu yang baru adalah bidah dan setiap bidah adalah sesat. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dalam Musnad V,20; Abu Dawud dalam Sunan II, 814 kitab Ash-Shaum, hal 7 ; At-Tirmidzi dalam Sunan II ,124 bab Ash-Shaum no. 744, dan An Nasai dalam sunan IV 201-201, kitab Ash-Shaum.)

”Sesungguhnya Allah telah menetapkan batas-batas maka janganlah kamu melampauinya, Allah telah mewajibkan kepada kamu kewajipan-kewajipan, maka janganlah kalian menyia-nyiakannnya dan Allah telah mengharamkan sesuatu maka janganlah kamu melanggarnya dan janganlah kamu meninggalkan sesuatu kecuali kerana lupa, tetapi sebagai rahmat bagi kamu maka terimalah dia dan janganlah kamu mencari-carinya” (Diriwayatkan Baihaqi dalam Sunan X, 12-13 kitab Adh-Dhahaya)

Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah hendaklah kembali kepada petunjuk yang bawa oleh Baginda, bukannya dengan cinta yang keliru. Apalah erti perarakan saban tahun sekiranya Al-Quran dan Hadits Rasulullah tidak dijadikan pedoman hidup.

Sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Rasulullah SAW.

Sumber:http://perakexpress.com/www/2010/02/16/cinta-yang-keliru/

Tiada ulasan: