Nama Umno tidak mencerminkan Melayu? |
Syuaib Zakaria Wed | Mar 18, 09 | 5:43:28 am MYT | |
Dalam negara Malaysia, dan berasaskan Perlembagaan Persekutuan, Melayu itu dirujuk sebagai orang beragama Islam, mengamalkan adat istiadat Melayu dan berbahasa Melayu. Tapi, hari ini ketika adat resam mula terpinggir, agama pun terabai, maka yang tinggal cuma bahasa Melayu. Sehingga ada orang yang berjenaka, sekarang ini yang masih Melayu adalah Keretapi Tanah Melayu sahaja. Nama Tanah Melayu di keretapi itu masih belum ditukar kepada Malaysia. Sesekali difikirkan, ada juga kebenarannya. Oleh kerana eratnya hubungan Melayu dan Islam dalam negara ini, maka nama-nama insan Melayu kita pun berubah daripada Damak, Daeng kepada Najib dan Khairy. Gelaran India seperti 'Kutty' mungkin boleh berubah menjadi Mahathir. Itu contoh sahaja. Tiada kena-mengena sama ada dengan mereka yang masih hidup atau mati. Jika terjadi pun, kemungkinan besar contoh itu disengajakan.. ada kemungkinan besar juga. Kalau perempuan, nama Kenanga ditukar Rafidah dan sebagainya. Malahan nama-nama Islam itu masih dilihat sebagai Melayu pula. Tetapi, bagaimanakah pula dengan nama parti 'Melayu', iaitu Umno? Umno belum menjadi Melayu? Dalam hal ini, Tan Sri Khalid Abdullah, 87, salah seorang veteran Umno baru-baru ini mengangkat isu menarik ketika mengulas kelemahan Umno, khasnya yang membabitkan hal ketuanan Melayu. Isu tersebut adalah hal penggunaan nama Umno (United Malay National Organization) dalam bahasa Inggeris. Menurut Khalid, nama Umno sendiri perlu diubah agar sama pengertiannya sebagai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu dalam bahasa Melayu. "Kenapa kita perlu memanggil pertubuhan yang menjaga kepentingan Melayu dengan nama Inggeris iaitu Umno (United Malay National Organisation). "Kenapa tidak kita balik kepada nama asal Umno pada era penubuhannya iaitu Pekembar? Ia ibarat orang Melayu bernama Johan, tetapi kita kini memanggilnya sebagai John? Di mana semangat Melayu? "Jadi, bagaimana kalau terasnya sudah tidak menampakkan Melayu, kemudian kita mahu perjuangkan tentang hak dan keistimewaan orang Melayu? "Kalau semangat nasionalisme sudah tiada, timbullah semangat materialisme sebagaimana yang terdapat dalam Umno sekarang," tegas Khalid. Khalid nampaknya masih yakin bahawa kalau pun partinya goyah, tapi kalau nama parti itu masih setia bercirikan Melayu maka hal goyah itu tidak mendatangkan masalah besar. "Cuma Umno itu perlu dimelayukan semula namanya dan kembali kepada Pekembar," jelas beliau. Pandangan mantan penggiat PKMM Seorang bekas Pertubuhan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) arwah Shamsiah Fakeh pernah menuliskan hal ini dalam memoir beliau sebagai berikut. "Sewaktu aku berada di Kampung Gemuruh, Kuala pilah, Negeri Sembilan, aku sering ikut dalam pertemuan yang dianjurkan oleh Umno iaitu kependekan dari bahasa Inggeris, United Malaya National Organization. "Sebenarnya, dalam bahasa Melayunya ialah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau singkatannya Pekembar, tetapi pertubuhan ini lebih suka memakai nama Umno. Seterusnya nama Umno saja yang digunakan sehingga sekarang," tulis beliau lagi. Shamsiah Fakeh menambah lagi, "Oleh orang-orang PKMM, nama singkatan PKMM ini dikenali dengan sebutan Pekemam." Bermaksud, Melayu kiri lebih kuat dan tebal semangat dan jiwa Melayunya berbanding Umno ini. Mereka telah menggunakan nama Melayu pada parti mereka sendiri. Apakah pandangan Tan Sri Khalid berhubung penukaran nama Umno kepada Pekembar itu akan mendapat 'limpah perkenan Umno' sendiri menjelang Perhimpunan Agung Umno itu, hal itu tidaklah dapat dipastikan lagi. PAS, PKR lebih tebal dan kuat jiwa Melayu Jika ditinjau daripada segi nama parti sebagai asas kepada tebalnya semangat Melayu, maka parti pembangkang Melayu seperti PAS dan KeADILan atau PKR adalah lebih tebal kemelayuannya. PAS adalah Parti Islam Semalaysia dan PKR adalah Parti Keadilan Rakyat. Sementara nama KeADILan pun memang punya makna yang kuat dalam tradisi kemelayuannya. Daripada nama kedua-dua parti ini pun, kita boleh mencongak dan menghitung, siapakah yang paling tebal jiwa Melayunya. Ternyata PAS dan PKR lebih ke depan memperjuang isu PPSMI kerana jiwa Melayu mereka lebih kuat berbanding Umno. Parti Umno cuma mendakwa sahaja bahawa mereka memperjuang ketuanan dan bahasa Melayu padahal tindakan mereka tidak mencerminkan sikap dan pendirian tersebut. Dengan sebab itu, orang-orang Melayu harus lebih berwaspada kepada parti Umno yang disangkakan sebagai pejuang Melayu itu. Lidah mereka menyatakan bahawa mereka itu pejuang hak bangsa dan bahasa Melayu. Walhal, hakikatnya mereka perosak Melayu. Nama itu sumber kekuatan jiwa. Jika nama Melayu sudah tidak lagi terpahat pada Umno, bermaksud jiwa Melayu dalam Umno telah berkubur. Sebab itu, Umno tidak mansuhkan PPSMI. Bilakah orang Melayu seluruhnya akan bangkit dan sedar akan hakikat ini, iaitu hakikat bahawa Umno bukan berjiwa Melayu dan mereka tidak perjuangkan bahasa dan bangsa Melayu? Hanya waktu yang akan memberikan jawapannya.. _ |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan