Khamis, Oktober 23, 2008

JKKK Batu Uban bertekad bawa pembaharuan

Sumbangan www.harakahdaily.net Mohd Sabri Said Thu | Oct 23, 08 | 11:54:50 am MYT BAYAN BARU, 23 Okt (Hrkh) - Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Uban, Othman Nordin mahu melakukan pembaharuan untuk membantu masyarakat setempat termasuk memohon bantuan mewujudkan pondok polis untuk menangani masalah sosial yang semakin memuncak. Beliau ketika ditemui di Masjid Batu Uban iaitu masjid pertama di Pulau Pinang menyifatkan, JKKK di bawah kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal melihat senario sekitar sebaliknya lebih kepada perebutan jawatan dalam parti sehingga menimbulkan sikap berpuak-puak di kalangan masyarakat. Fenomena itu sambungnya, tidak seharusnya terjadi kerana secara langsung menyebabkan masyarakat hilang arah sekali gus memberi laluan kepada golongan yang rendah kefahaman sivik melakukan perkara yang tidak sewajarnya. "Kami JKKK di Batu Uban bertekad membantu masyarakat setempat menangani masalah kecurian dan sebagainya dengan mewujudkan pondok polis. Insya Allah ia dalam proses. Itulah agenda kami bila diberikan amanah menerajui JKKK di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat," ujarnya sambil meminta kerjasama dari semua masyarakat tanpa mengira latar belakang politik. Bagi merealisasikan kerja ini tegasnya, semua masyarakat kena bersatu hati serta membuang sikap hasad dengki sesama sendiri sekiranya mahukan kemajuan dikecapi. Pondok polis katanya, begitu perlu kerana di sini kes-kes kecurian semakin meningkat manakala kerosakan lif di flat Desa Riang juga begitu serius. Kerosakan lif sambungnya, menyukarkan penduduk turun naik terutamanya golongan veteran. "Lif juga sering rosak dan menyusahkan golongan veteran untuk berurusan dengan masyarakat setempat," ujarnya. Manakala Setiausaha JKKK Batu Uban, Iszuree Ibrahim pula berkata, selain meningkatkan kefahaman sivik JKKK juga mahu masyarakat di sini mempelajari teknik menternak ikan keli dalam kanvas secara berkumpulan bagi meningkatkan pendapatan kepada mereka yang tidak lagi mampu turun ke laut mencari rezeki. Kawasan yang dicadangkan ialah berdekatan masjid di mana terdapat kekosongan di situ dan cadangan itu akan dikembangkan kepada Jabatan Pertanian bagi melihat keadaan, katanya. "Kita mahu buat kelainan di samping membantu masyarakat setempat menambah kewangan bukan bercakap banyak tapi hasilnya masyarakat berkecamuk. "Bagi memudahkan masyarakat serta orang ramai yang mahu mendapatkan maklumat terkini mengenai perkembangan JKKK Batu Uban orang ramai boleh melayari jkkkbatuban.blogspot.com," jelasnya. - mns_

Tiada ulasan: