BATU UBAN – Penduduk di sini menyatakan penat dan membazir minyak, apabila jalan yang dahulunya boleh digunakan penduduk kampung kini dihalang dengan besi penghadang. Jalan yang terletak di Batu Uban 5 itu berhampiran dengan perumahan mewah dan Bangunan Lembaga Lebuh raya Malaysia serta beberapa meter dari Kompleks Majlis Sukan Negeri (MSN). Tinjauan Sinar Harian mendapati penduduk yang memandu kereta tidak dapat menggunakannya lagi, namun bagi penunggang motosikal mereka masih lagi menggunakan jalan berkenaan walaupun dihalang. Ini kerana ada yang terpaksa menghantar anak ke sekolah berhampiran, namun disebabkan jarak perjalanan yang jauh penduduk mengambil inisiatif dengan tetap menggunakan jalan itu. Penunggang motosikal bernasib baik kerana bahu jalan dengan penghadang tidak terlalu tinggi dan membolehkan mereka melalui penghadang berkenaan. Namun nasib malang tidak berbau, dan kemalangan boleh terjadi sekiranya ada ibu bapa yang tidak cekap menunggang sehingga membolehkan anak mereka terjatuh. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, SRaveentharan berkata, jalan berkenaan ditutup sejak awal 2000 lagi apabila projek perumahan mewah berkenaan mula dibina. Menurutnya, beliau menerima aduan orang ramai mengenai permasalahan itu sehingga menyusahkan penduduk. “Disebabkan jalan ini ditutup dan dihalang dengan besi, penduduk dari Kampung Batu Uban terpaksa membuat pusingan sejauh lima kilometer apabila perlu menuju ke Sungai Gelugur dan berpatah balik ke perumahan di belakang Komplek Belia Dan Sukan dalam kawasan Kg Batu Uban . “Sedangkan mereka hanya boleh ke perumahan berkenaan dalam jarak tidak sampai 200 meter ” katanya. Raveentharan juga membuat lawatan teknikal satu hari bersama ahli majlis, Iszuree Ibrahim. Beliau bersama pegawai Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan JKR serta beberapa pemimpin setempat turut mengadakan lawatan ke Sungai Dua, Jalan Pekaka 1, Lorong Pekaka 5, Taman Jade dan Jalan Batu Uban 5. Iszuree berkata, jalan yang dihalang itu turut memisahkan penduduk Kampung Batu Uban. Menurutnya, apabila jalan berkenaan dihalang menyebabkan penduduk kampung terpisah sedangkan mereka masih lagi memerlukan jalan berkenaan untuk menjadi laluan dan penghubung. “Disebabkan itu ada yang terpaksa menggunakan motosikal dan menggunakan jalan ini kerana dapat menjimatkan masa dan minyak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan