Assabiah secara harfiah bererti “fanatisme kesukuan atau golongan.” Fanatisme ini melahirkan sikap pembelaan bermati-matian segala hal yang dianggap sebagai milik sukunya sendiri, terutama bersangkutan dengan nilai, tradisi, harta benda, dan kekuasaan.
Apabila merasakan adanya ancaman daripada suku lain, maka anggota suatu suku itu tidak akan ‘segan-segan’ memerangi dan membinasakan suku atau golongan lain.
Sebelum kedatangan Islam, bangsa Arab sering kali mengalami peperangan pertumpahan darah antara suku kerana didorong oleh asabiah atau rasa fanatisme kesukuan yang sangat kuat (assabiah jahiliah). Suku yang kuat mengalahkan suku yang lemah dan akan tampil sebagai di antara suku-suku lain yang ditaklukkannya.
Nabi Muhammad s.a.w melarang assabiah dalam erti sempit ini, namun menganjurkan assabiah yang islami (assabiah Islamiah), iaitu semangat nasional yang berjiwa Islam.
Assabiah merupakan istilah kunci teori Ibnu Khaldun, pemikir Islam dari Tunisia. Dalam bab ketiga bukunya, Muqaddimah, ia membahas masalah assabiah dalam kaitannya dengan perkembangan masyarakat dan Negara.
Menurut Ibnu Khaldun, tujuan assabiah ialah kekuasaan negara demi kebaikan rakyat. Kerana itu, assabiah tidak cukup hanya dilandasi kekuasaan fizikal, yang mungkin saja cenderung kepada kejahatan, tetapi juga harus dilandasi moral iaitu agama dan akhlak. Dari sudut pandang ini, kelihatan bahawa Ibnu Khaldun memandang positif sikap assabiah.
Istilah “assabiah” dalam Islam memiliki konotasi yang tidak baik, kerana mengandungi unsur ekstremisme atau sikap patriotik yang berlebihan terhadap kelompok suku atau golongannya, yang merupakan salah satu ciri kehidupan jahiliah (assabiah jahiliah).
Rasulullah s.a.w sendiri pernah merasa prihatin atas adanya bibit-bibit permusuhan antara suku di kalangan orang Arab. Nabi s.a.w mempertentangkan sikap fanatisme kesukuan (assabiah jahiliah) ini dengan persatuan secara menyeluruh (jemaah; assabiah Islamiah).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim (202H/817M – 261H/875M), Rasulullah s.a.w menegaskan bahawa barangsiapa meninggalkan jemaah, lalu mati membela assabiah, maka ia mati secara jahiliah.
Assabiah kesukuan atau golongan diperlukan untuk mendorong seseorang sampai ke puncak kekuasaan. Oleh kerana itu, menurut Ibnu Khaldun, assabiah sangat penting pada awal berdirinya sebuah negara. Bagaimanapun, apabila kekuasaan negara yang diperjuangkan itu telah tercapai, maka assabiah kesukuan harus segera diganti dengan kebangsaan/nasionalisme.
Dalam Islam, semua manusia, suku dan bangsa memiliki darjat yang sama di hadapan Allah s.w.t; yang membezakan mereka adalah kadar takwanya kepada Allah s.w.t (maksud al-Quran, surah az-Zukruf, ayat 13)
Sususan SHARNIZA ZAKARIA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan