Islam Penyelamat Negara & Rakyat : 1
Muqaddimah :
Islam : Formula yang dicari
1. Negara semakin rumit dan rencam untuk ditadbir dan rakyat kian sukar dan sulit untuk diurus tatkala berdepan dengan cabaran baru yang nyata komplek dan kusut .
2. Politik bergolak , ekonomi menjunam dan sosial membarah antara realiti konflik yang terpaksa didepani oleh negara dan rakyat dewasa ini .
3. Hari ini para politikus , pakar ekonomi dan aktivis sosial antara manusia paling sibuk di atas muka bumi . Mereka berfikir , bekerja dan merumus bagi menghasilkan formula pemuliharaan negara dan rakyat yang kini terancam ketenangan dan kesejahteraan hidup mereka lantaran konflik yang dihadapi . Tidak sedikit , masa , tenaga dan wang ringgit yang dilaburkan untuk tujuan tersebut . Malangnya , sehingga kini semua kaedah dan teori yang dipakai seperti gagal menghasilkan formula berkesan bagi mengatasi kemelut ummah .
4. Saya melihat kegagalan itu berpunca dari sikap degil dan babil sebahagian manusia untuk kembali berpaut pada asas dan sumber tulen dari ajaran wahyu yang merumus formula langit untuk sebuah penyelesaian abadi . Terpengaruh dengan elemen dalaman jiwa sebahagian insan yang ego dan angkuh lalu menolak mentah pelan penyelesaian yang digaris oleh al quran dan sunnah .
5. Sedang Islam adalah agama yang diutus oleh Allah swt sebagai Minhaajul Hayah [ cara hidup ] atau way of life . Ianya menepati sebuah manual yang didokumenkan sebagai satu deklarasi hidup untuk memimpin serta membimbing ummat manusia membina tamaddun dan peradaban mereka . Justeru Islam diutus oleh Tuhan yang mencipta manusia dan segala pra sarana yang menjadi keperluan manusia untuk hidup [ maka Ia lah Tuhan yang berauthoriti untuk menentu arah tuju dan peraturan hidup manusia yang diciptanya ] .
6. Umumnya manusia memerlukan kehidupan . Biarpun kematian terus meningkatkan statistik angkanya [ lantaran turut menjadi mangsa konflik serta krisis kehidupan ] , yang masih hidup dan bakal lahir memerlukan kehidupan dan merencana untuk hidup . Manusia akan bertarung , bersabung dan berjuang dengan segala sisa keupayaan yang ada pada mereka untuk sebuah kehidupan . Jelasnya kehidupan adalah sebuah perjuangan jua, tidak mungkin manusia hidup tanpanya .
7. Namun begitu , erti hidup hanyalah pada kesejahteraan dan kebahagiaan , ketenangan dan kedamaian , kegembiraan dan kejayaan . Tiada erti bagi hidup yang diselubungi penderitaan dan kesengsaraan , kesedihan dan kekecewaan , kegagalan dan kemusnahan . Sungguhpun mereka hidup , tetapi hidup yang tiada makna dan tidak bererti . Terdapat jua insan yang enggan memaknai atau menghargai kehidupan mereka lalu menjerumuskan diri mereka ke lembah binasa .
8. Islam diutus sebagai pedoman untuk memberi makna , erti dan nilai pada kehidupan yang dianugerah ini . Islam dikirim sebagai petunjuk untuk mewarnai kehidupan dan memberi cahaya yang membebaskan manusia dari perangkap kegelapan . Islam adalah cara hidup yang sesuai di semua tempat dan masa serta keadaan dan zaman .
9. Ketika berhadapan dengan An Najasyi [ Raja Habsyah ] , Jaafar bin Abi Talib sewaktu berhujjah bagi memberikan penjelasan mengenai Islam yang diragui kebenaran dan peranannya oleh Najasyi dan pembesarnya telah berkata : [ bagi memberi gambaran jelas tentang Islam dan peranannya ]
Wahai Raja , Kami dulunya adalah orang - orang jahiliyyah . Kami menyembah berhala , kami memakan bangkai , kami berzina , kami memutuskan silaturrahim , kami menyakiti jiran , yang kuat dikalangan kami menindas yang lemah , begitulah keadaan kami sehingga Allah swt mengutuskan kepada kami seorang Rasul dari kalangan kami . Kami kenal keturunannya , kebenaran risalahnya , kejujuran dan ketinggian budi pekertinya .
Ia telah mengajak kami kembali kepada Allah swt supaya kami mentauhidkan dan mengabdikan diri kepadanya [ tidak menyekutukannya ] , memisahkan kami dari apa yang kami dan datuk nenek moyang kami sembah sebelum ini yang terdiri dari batu dan berhala .
Ia menyuruh kami supaya bercakap benar , menunai amanah , menghubung silaturrahim , berbuat baik terhadap jiran tetangga , berhenti dari melakukan jenayah dan menumpah darah serta melarang kami dari melakukan zina , bercakap kotor , makan harta anak yatim dan melempar tuduhan / fitnah kepada wanita yang baik .
Ia menyuruh kami mengabdikan diri kepada Allah swt Tuhan yang Maha Esa tanpa menyengutukannya dengan sesuatu pun . Ia menyuruh kami mendirikan sembahyang , membayar zakat dan berpuasa [ Jaafar menyebut beberapa perkara yang terkandung di dalam rukun Islam ] , maka kami membenarkannya dan kami beriman kepadanya . Kami melaksanakan apa yang dibawanya daripada Allah swt . ................
10. Islam bukan sebagaimana yang digambarkan oleh Amerika dan golongan orientalis . Ekstrim dan terrorist , melampau dan mencetuskan huru hara . Sempit dan prejudis , ketinggalan zaman dan anti pembangunan . Ini semua adalah fitnah dan momokan yang tidak berasas pula berniat jahat terhadap Islam . Ini juga adalah perang saraf pihak musuh yang terus menyimpan dendam kesumat dan hasad dengki terhadap Islam .
Islam Penyelamat Negara & Rakyat : 2
ISLAM ADALAH RAHMAT SEKELIAN ALAM
1. Islam adalah wahyu dari Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang . Bukan hanya manusia tetapi seluruh makhluk mengambil manafaat dari risalahnya .
2. Manusia selaku mukallaf [ yang menggalas taklif syara' ] tentu sahaja merupakan makhluk yang menerima secara langsung segala amanah perutusan syariatnya .
3. Selaku khalifah Allah di atas muka bumi , manusia dipandu seadilnya untuk mengurus dan mengatur kehidupan mereka agar berjaya dan sejahtera . Panduannya al Quran dan pemandunya Rasul saw.
4. Negara kita hari ini jelas sedang bergerak menuju kehancuran dan kebinasaan apabila Al Quran dan as Sunnah tidak diterima pakai sebagai dasar dan pedoman untuk membina tamaddun dan peradaban . Kebanjiran maksiat dan mungkar malah peningkatan indeks jenayah , rasuah , penyelewengan amanah , penyalahgunaan kuasa serta pencemaran sosial yang semakin parah sebagai petanda utama negara kian binasa .
5. Ringkasnya , pelaku segala macam mungkar dan aneka maksiat jua jenayah ini adalah mereka yang tidak tahu membezakan syurga neraka dan dosa pahala . Kedudukan mereka sangat terpisah dari cahaya al Quran dan didikan sunnah . Sedang al Quran dan as Sunnah sahajalah satu - satunya formula yang mampu membebaskan dari perangkap yang menjerumuskan mereka ke lembah yang hina .
6. Malang masih ramai yang sangsi dan keliru tentang Islam , bahkan sebahagian ummat Islam mengalami kekeliruan tersebut . Apakah Islam ini hanya agama sekadar mengucap dua kalimah syahadah , solat , puasa , zakat dan haji semata - mata ? atau Islam sebagai sebuah cara hidup yang mesti diambil segala prinsip dan syariatnya .
7. Sebahagian ummat Islam pula turut terpengaruh dengan propaganda musuh yang mengaitkan Islam dengan aktiviti terrorist dan ganas . Lantas Islam dan para pejuangnya digelar militan, wahhabi , pengganas dan sebagainya , walhal Islam adalah agama yang benar dan tepat . Sesuai dan wajar dilaksanakan oleh semua lapisan masyarakat tanpa membezakan warna kulit dan bahasa lidah mereka .
8. Justeru itu , langkah pertama bagi semua pihak ialah merujuk apa jua perkara berkait dengan Islam kepada mereka yang benar - benar mendalami agama Islam dan ikhlas berjuang untuk agama Islam . Jika Islam dirujuk kepada golongan Islam Liberal , Islam Hadhari , Orientalis dan seumpamanya , akan ditemui satu kekeliruan yang membingungkan mengenai Islam terutama bagi mereka tidak memiliki basic agama Islam yang baik .
9. Melihat keindahan Islam dan kehebatannya dalam menangani persoalan hubungan manusia dengan tuhan jua manusia dengan manusia ialah apabila diambil sumber yang jelas dan tulen iaitu al quran dan sunnah . Malang sekali jika Islam diambil persepsi dan perspektif mengenainya dari surat khabar jalanan . Terhasillah sebuah kecelaruan dan kekeliruan yang sukar dibetulkan kembali .
10. Islam bukan teori , fantasi dan ilusi sebaliknya Islam adalah Manhaj hidup yang praktis dan realistik untuk diamal di semua tempat dan masa jua untuk semua bangsa dan bahasa . Islam adalah cara hidup yang universal . Merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia dan menyusun kehidupan manusia dengan wahyu Allah Tuhan yang Maha Adil lagi Maha Bijak . Tidak pernah diketemui satu pun peraturan dan undang - undang Islam yang zalim , kejam dan menindas dan menginaya sebaliknya ia adalah setimpal dengan jenayah yang dilakukan oleh manusia yang zalim dan kejam .
__._,_.___